Pendidikan merupakan perkara penting untuk mencapai kesejahteraan dan kesempurnaan hidup manusia. Ia menjadi asas dalam membina ilmu pengetahuan bagi membentuk diri dan masyarakat yang lebih dinamik serta terdidik dari sudut fizikal dan spiritual. Oleh itu, pendidikan dari perspektif Islam mempunyai pengertian yang mendalam dan menyeluruh yang merangkumi proses melatih akhlak, jasmani dan rohani yang berasaskan ajaran al-Quran dan hadis sebagai pegangan utama kehidupan. Kepelbagaian konsep dalam pendidikan Islam turut dilihat sebagai faktor utama dalam melahirkan manusia yang bertakwa dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Konsep tersebut menjadi penggerak utama dalam mencapai matlamat pendidikan iaitu membentuk manusia yang mempunyai cita-cita dan falsafah hidup yang tersendiri yang berperanan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini, sekali gus mewujudkan masyarakat yang progresif dan bertamadun seperti yang digariskan oleh Islam
Pendidikan merupakan suatu proses berterusan yang mengandungi unsur-unsur pengajaran, latihan, bimbingan dan pimpinan dengan tumpuan khas kepada pemindahan pelbagai ilmu, nilai agama dan budaya serta kemahiran yang berguna untuk diaplikasikan oleh individu (pengajar atau pendidik) kepada individu yang memerlukan pendidikan itu. Justeru, pendidikan itu merujuk kepada manusia sebagai objek utama dalam proses pendidikan.
Selain itu, pendidikan juga merupakan proses kesinambungan yang dilalui oleh manusia dengan cara bimbingan, latihan dan didikan khususnya berkaitan dengan perkembangan intelek, kerohanian, jasmani, sosial dan estetika. Dengan erti kata lain, pendidikan juga dipandang sebagai pewarisan kebudayaan dan pengembangan potensi pada diri manusia untuk menjadikan dirinya sebagai manusia yang berilmu, berakhlak, sihat, berbudaya, berseni, berguna dan bertanggungjawab.
Oleh itu, wujudnya institusi pendidikan di sekitar Mukim Padang Terap Kiri untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua pelajar supaya mereka mendapat tahap pendidikan yang mengikut arus kemajuan terkini dan mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Antara institusi pendidikan yang terdapat di kawasan ini termasuklah :
1. | PASTI Nurul Iman |
2. | Prasekolah Kebangsaan Padang Terap |
3. | Sekolah Kebangsaan Padang Terap |
4. | Sekolah Kebangsaan Kubang Palas |
5. | Sekolah Kebangsaan Padang Sanai |
6. | Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap |
7. | Maktab Mahmud Daerah Padang Terap |