Padang Terap merupakan salah satu daripada jajahan dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia. Padang Terap mendapat nama daripada sejenis pokok terap yang banyak terdapat di suatu kawasan padang atau di tepi-tepi padang.

Di Kedah dan Perlis akan didapati banyak kawasan yang dinamankan dengan "Padang" seperti Padang Besar, Padang Lalang, Padang Perahu, Padang Hang dan Padang Mat Sirat. Padang menggambarkan kawasan rata yang gersang dan tidak mempunyai pohon besar atau hanya ditumbuhi belukar yang jarang. Perkara ini disebabkan oleh tanahnya yang tandus serta kesan musim kemarau yang berlaku empat bulan setiap tahun di kawasan ini, di mana curahan hujan kurang dari 50mm hujan sebulan.

Kawasan padang Padang Terap ialah kawasan yang ditumbuhi sajenis pohon yang tahan kemarau dan bergetah dipanggil Pokok Terap (Artocarpus elasticus). Oleh itu, nama Padang Terap berasal dari pokok ini. Profil tanah kawasan ini juga cetek, terbentuk dari batuan mendap yang dikelaskan oleh pakar sains tanah sebagai 'Siri Terap'.

Perkembangan pembangunan di Daerah Padang Terap adalah dipengaruhi oleh hubungan ekonomi dengan negeri yang berhampiran iaitu Perlis yang berfungsi sebagai Pusat Wilayah Negara bagi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia. Komoditi utama Padang Terap adalah gula yang dikeluarkan oleh Syarikat Gula Padang Terap.

Di sini terdapat kilang memproses gula dan juga ladang tebu yang luas. Kilang gula ini di samping memproses gula dari ladang, ia jua memproses gula yang diimpot kerana keluaran ladang tidak mencukupi untuk memenuhi kapasiti kilang. Lagi pun industri memproses gula juga menguntungkan kerana gula mentah yang diimport dari pasaran dunia agak murah berbanding dengan keluaran tempatan. Oleh itu, ladang tebu telah mempelbagaikan tanamannya meliputi tanaman pisang dan nenas.

Kuala Nerang termasuk dalam kawasan parlimen Padang Terap, Kedah Darul Aman, di utara Malaysia. Kedudukannya 6.3'utara dan 100.4'timur. Sejarah Kuala Nerang dapat dijelaskan berdasarkan dua cerita iaitu maksud Kuala dan Nerang itu sendiri. Kuala ialah pertembungan dua sungai iaitu Sungai Pedu dan Sungai Ahning, manakala Nerang pula bermaksud kawasan yang merimbun & teduh (kawasan sekitar yang dipenuhi pokok-pokok dan hutan).

Nerang juga diambil sempena nama anak YTM Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj iaitu bapa kemerdekaan yang pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah di sini dan dinamakan sebagai Kuala Nerang bersempena nama puteranya iaitu Tunku Ahmad Nerang.